Assalamualaikum,
Rumah tangga bahagia boleh dibina dengan sifat sentiasa
bersyukur..
APABILA berkata mengenai bahagia, sudah pasti semua
mengimpikannya. Kebahagiaan adalah perasaan yang sangat sukar diungkapkan dan
bersifat subjektif. Bahagia selalunya dicapai apabila seseorang itu merasa
kepuasan, gembira, kecukupan serta penuh kesyukuran dan keredaan.
Kebahagiaan adalah milik semua.
Bahagia tidak hanya dimiliki mereka yang kaya raya dan berharta kerana boleh
saja mereka yang kaya raya berasa tidak bahagia serta runsing memikirkan
keselamatan hartanya yang bertimbun. Tidak kurang juga dengan keadaan manusia
yang hari-harinya penuh dengan keletihan disebabkan sibuk mengejar harta dan
kerjaya. Tiada lagi masa untuk duduk bersama keluarga, isteri mahupun suami.
Sehinggakan hubungan cinta menjadi hambar.
Bahagia juga belum tentu dapat
dicapai dengan memiliki sebuah kediaman mewah dan indah. Rumah besar itu boleh
menjadi penjara baginya yang penuh dengan kesunyian tanpa hiburan. Ibarat
seekor burung terkurung dalam sangkar emas. Bahagia juga belum tentu dimiliki
dengan memiliki pasangan suami atau isteri yang tampan dan cantik rupawan
kerana ketampanan serta kecantikan itu akan menghilang ditelan waktu.
Jika kembali kepada agama,
kebahagiaan itu dapat diraih dan dinikmati oleh mereka yang sentiasa berpegang
teguh dengan prinsip agama bagi setiap urusan dilakukan dalam kehidupan mereka.
Apabila meletakkan prinsip agama sebagai keutamaan, di sini mereka mengutamakan
Allah. Mereka sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan dan dengannya
mereka bersikap qana'ah atau sentiasa berasa cukup serta berpuas hati.
Allah berfirman yang bermaksud:
"(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi
tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati
menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28)
Rasulullah SAW juga turut
menjelaskan bahawa kekayaan itu bukanlah dicapai dengan banyaknya harta menimbun,
tetapi ia dicapai dengan kayanya hati.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud:
"Kaya itu bukanlah diukur dengan banyaknya harta benda,
akan tetapi kaya yang sebenarnya adalah kaya hati." (Hadis riwayat
al-Bukhari)
Orang yang kaya hatinya, dia
sentiasa memiliki sifat qana'ah dengan menerima apa yang Allah berikan. Dia
sentiasa reda dan berasa puas di atas usahanya. Tidak memiliki rasa tamak untuk
mengejar sesuatu dengan berlebih-lebihan tanpa keperluan, tidak rakus mengejar
dunia serta tidak pula meminta-minta.
Rasulullah SAW berpesan supaya sentiasa melihat siapa yang
berada di bawah kita dan mereka yang kurang bernasib baik berbanding apa kita
miliki, bukannya dengan melihat kekayaan dimiliki orang yang mewah berbanding
diri kita.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
"Lihatlah orang yang berada di bawahmu dan jangan
melihat kekayaan orang yang di atasmu, perkara itu lebih baik sehingga engkau
tidak meremehkan nikmat Allah."(Hadis riwayat Muslim)
Pesanan Rasulullah SAW itu
bertujuan mengajak kita sentiasa bersyukur dengan segala kemampuan dan hasil
yang diusahakan serta diperoleh, sekali gus menjauhkan diri daripada berasa
kurang bernasib baik dan bersikap tamak.
Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan yang baik
merujuk kepada kehidupan berkeluarga, iaitu dengan memiliki isteri yang baik,
anak dan keperluan berkaitan dengannya.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia itu kecintaan
kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita (isteri), anak, harta yang banyak
dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah
kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik
(syurga)." (Surah Ali-Imran, ayat 14)
Dengan itu, bagi sesebuah
keluarga, suami dan isteri hendaklah sentiasa berkasih sayang, tolong-menolong
dan saling memahami dalam setiap hal ehwal urusan kehidupan. Mereka saling
mengerti tugas dan hak masing-masing berdasarkan apa yang digariskan agama.
Setiap pihak sentiasa berusaha memberikan kebahagiaan, keceriaan, ketenteraman,
dan kehangatan cinta sesama mereka. Rumah tangga bahagia dibina atas landasan
agama, akan membawa pasangan suami isteri berkekalan hingga ke syurga yang
penuh kenikmatan. Ia dapat diraih apabila mereka menjadikan rumah tangga
sebagai medan meraih keredaan dan mengejar cinta Allah. Dalam persoalan ini,
suami selaku ketua keluarga bertanggungjawab mengemudi keluarga dibinanya
menuju kebahagiaan.
Ia dapat dicapai apabila suami
sentiasa bergaul, tahu mengambil hati, melahirkan rasa kemesraan, memupuk rasa
mencintai dan memenuhi keperluan mereka dengan baik dan sentiasa berusaha
membimbing ahlinya kepada perkara dicintai Allah.
Kefahaman agama yang teguh
membolehkan keluarga mencapai kebahagiaan kerana berkongsi fokus yang sama,
iaitu mencari keredaan Allah. Ia menjauhkan mereka daripada perkara negatif
apabila hidup dipenuhi tauhid, kasih sayang, saling mencintai, kesyukuran serta
kemesraan.
Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud:
"Empat perkara yang mendatangkan kebahagiaan adalah,
isteri salihah, rumah yang luas, jiran tetangga yang baik dan kenderaan selesa.
Dan empat perkara yang mendatangkan kesengsaraan adalah isteri buruk akhlaknya,
jiran tetangga jahat, kenderaan buruk serta rumah yang sempit." (Hadis
riwayat Ibnu Hibban)
Dimaksudkan dengan isteri yang
solehah, sudah tentu isteri yang memahami persoalan agama dengan baik,
mengamalkan ilmunya (taat) dan sangat komited dengan kedudukannya sebagai
seorang isteri. Rumah yang luas adalah rumah sentiasa terisi dengan sifat
qana'ah, aktiviti dicintai Allah, suasana yang tenteram dan ceria serta
kemudahan yang baik. Kenderaan yang selesa penting bagi tujuan kelancaran
pengangkutan dan hal ehwal urusan serta tugas seharian. Jiran tetangga yang
baik merujuk kepada soal pergaulan dan kehidupan bermasyarakat di atas etika
syariat yang betul.
Sebenar-benar
kebahagiaan itu adalah kebahagiaan yang dibina di atas keredaan Allah, sekali
gus menjamin kehidupan bahagia yang berkekalan sehingga ke akhirat.
p/s: perkongsian ilmu dipagi jumaat..sharing is caring..
No comments:
Post a Comment